RSS

Solekan Pengantin

SOLEKAN untuk meraikan raja sehari pasti berbeza dengan solekan harian atau ke majlis tertentu.

pix_middle
Ini kerana solekan ini sedikit tebal tetapi masih mengekalkan tema semula jadi menerusi penggunaan warna pembayang mata serta gincu.

Menurut jurumekap profesional Lancome, Ismie, gaya terkini solekan pengantin bukan lagi pada solekan tebal serta garang. Sebaliknya, tema solekan lebih kepada elegan, anggun serta tidak keterlaluan.

Ini kerana pengantin sudah dihias rapi menerusi busana anggun, perhiasan badan dan rambut, kasut serta bunga tangan. Pakaian sudah semestinya mewah ditaburi labuci dan manik serta warna pelbagai.

Justeru, semua perhiasan atau apa saja yang dikenakan pengantin akan menyebabkan pembawaan mereka turut berubah. Dalam erti kata lain, penampilan raja sehari akan turut mempengaruhi teknik solekan menerusi penggunaan warna terutama pada solekan mata serta rona bibir.

"Justeru, solekan sederhana dengan mengekalkan tema semula jadi akan menyeimbangkan penampilan pengantin sama ada untuk majlis tradisi atau moden seperti perkahwinan dalam taman," katanya.

Namun harus diingat, selain semua perkara di atas, penggunaan warna juga bergantung kepada rona kulit mempelai sama ada cerah atau gelap.

Jika berkulit cerah, penggunaan warna pembayang mata tidak terlalu terang. Gabungan warna ungu, biru dengan sedikit warna perak akan menaikkan seri wajah.

Untuk pengantin berkulit gelap, jurusolek perlu menggunakan warna pastel manakala warna terang harus dielakkan.

Panduan solekan daripada Ismie:

- Pemilihan warna bedak asas sangat penting kerana ini akan memastikan kesempurnaan solekan. Pastikan warna bedak asas seakan-akan sama dengan kulit. Jika tidak, ambil warna sedikit gelap berbanding kulit.

- Pembayang mata ungu terang ditambah ton dwiwarna adalah gaya terkini solekan mata.

- Pemakaian bulu mata palsu bukan saja untuk bahagian atas tetapi bahagian bawah sangat membantu menaikkan seri wajah.

- Bagi pengantin bermata sepet, solekan untuk mendapatkan mata galak dan bercahaya amat diperlukan. Teknik solekan mata smokey dicadangkan dengan lakaran pembayang mata warna hitam pada alis mata atas dan sedikit pada bahagian bawah mata.

- Elakkan penggunaan gincu terlalu terang sehingga menonjolkan bibir. Sebaliknya, sesuaikan warna kulit serta busana.

- Teknik sapuan pemerah pipi sangat penting bagi mengelak sapuan bertompok. Pastikan warna pemerah pipi sebati dengan warna bedak dengan cara menyapu mengikut arah bulatan kemudian bawah ke atas.

- Bayangan atau shading mampu menutupi kekurangan wajah. Namun, bayangan keterlaluan akan menyebabkan solekan menjadi tidak semula jadi. Sebaiknya, sapuan sederhana sehingga tidak menampakkan garis bayangan tetapi mampu menutupi kekurangan wajah adalah teknik bayangan yang sangat sempurna.

- Membentuk alis menggunakan celak sangat penting bagi mengangkat seri wajah. Celak tidak terlalu tebal dan nipis. Pastikan kedudukan kedua-dua alis sama bentuk, tebal serta sewarna.

Terima kasih:
* Solekan: Ismie daripada Lancome Colour Design Artist menggunakan produk Lancome
* Dandanan rambut: Ismie menggunakan produk Kiehl's
* Pakaian: Carven Ong Couture & Wedding Specialist, Hotel Prince Kuala Lumpur


sumber: hmetro

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment